3:57 PM -
Palestine
No comments
Perutusan Aqsa Syarif
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakaatuh
Segala pujian hanya buat Allah S.W.T. Selawat dan Salam buat Nabi junjungan. Doa yang tidak terputus untuk para sahabat dan ahli keluarga baginda, guru-guru, pemimpin dan ibubapa tercinta.
Masjidil Aqsa terus dalam ancaman. Sahabat dan saudara-saudara kita terus terkepung di sana dan yang berdekatan dengannya. Entah makan atau tidak anak-anak Palestin itu.
Sekolah mereka? Kesihatan mereka? Masa depan mereka? Pemuda yang bercita-cita mendirikan rumahtangga: ramai juga yang tertangguh dek kepayahan hidup. Seribu soalan lagi yang AQSA SYARIF lemparkan agar ingatan itu terus segar dalam minda setiap rakyat Malaysia.
Sebagai muslim, ketika mendirikan ibadah dengan sahih; ibadah solat, kita ada membaca surah Fatihah dan Tahiyyat.
Ketika membaca surah Fatihah, ketika qiam, kita memohon agar ditunjuki satu jalan yang lurus. Jalan yang bagaimana? Jalan yang pernah dilalui oleh “mereka”; iaitu para anbiya’, termasuk junjungan Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, pengikut sahabat, para auliya’, syuhada’ dan seumpama mereka.
Terbayang kita Nabi Ibrahim dan sirahnya, terbayang kita Nabi Musa dan sirahnya, terbayang kita Nabi Daud dan anakandanya Nabi Sulaiman dan sirah mereka berdua. Terbayang kita Nabi Muhammad S.A.W dan sirahnya. Isra’ dan Mi’rajnya. Hijrah dan Badarnya. Kebijaksanaan baginda berdepan dengan Yahudi di Madinah dan lain-lain.
Banyak yang kita bayangkan semasa berdoa kepada Allah itu, khususnya ketika membaca fatihah dalam solat. Mencari-cari contoh “mereka” yang berada dalam jalan yang lurus. Mereka berada dalam perjuangan sepanjang zaman.
Ketika tahiyyat, selepas mengucapkan segala kemuliaan dan penghargaan, segala keberkatan dan segala doa milik Allah S.W.T, kita akan memberi salam kepada junjungan Nabi S.A.W dan kepada diri kita sendiri, bersama hamba-hamba Allah yang terdiri dari para solihin.
Tentu minda dan hati kita yang khusyuk ini, akan cantumkan “mereka yang berada di jalan yang lurus” dalam fatihah tadi dengan “hamba-hamba Allah yang solih” dalam tahiyyat itu. Manisnya solat yang mengandungi dua isyarat besar, حبـل من الـلـه dan حبـل من الـنا س Khusyuk dan kelazatan mengingat Allah, tidak memutus dan menafikan hubungan dengan manusia.
Di luar solat, seorang pejuang agama Allah, seperti anda semua, tentu akan ingat Allah S.W.T sehingga menusuk Qalbu masing-masing, dan ingat juga tugas khalifah dalam menerbitkan amal dan kerja buat kita semua.
Ingat Allah, ingatlah saudara-saudara kita. Saudara-saudara solihin kita dulu dan sekarang. Saudara-saudara teraniaya di bumi Palestin, tidak terkecuali dari senarai “hamba-hamba Allah yang solih” itu.
Itulah antara implikasi tarbiyyah yang mesti ada dalam semua gerakan Islam. Kekuatan iman dan kekuatan persaudaraan yang terbit dari iman yang mendalam. Ukhuwah yang ditunjangi iman yang mendalam, akan menerbitkan ayunan amal untuk membantu saudara-saudara kita di bumi Palestin secara berterusan.
AQSA SYARIF yang didokong oleh orang-orang lama dalam dakwah, tampil dengan pelbagai program dan aktiviti. Di seluruh pelusuk negara, bersedia ratusan malah mencecah ribuan, sukarelawan menanti amal-amal yang tersusun.
AQSA SYARIF dalam rangka memberi penerangan isu Palestin, menyediakan senarai penceramah-penceramahnya di seluruh negara. Kami telah dan akan terus melatih mereka.
Bertolak dari iman dan persaudaraan yang mendalam ini, petugas dan sukarelawan AQSA SYARIF akan memastikan kerancakan aktiviti berkaitan isu Palestin, disamping menghormati dan mematuhi lunas undang-undang yang ada.
AQSA SYARIF telah meletakkan skim bantuan kepada anak yatim dan keluarga miskin di bumi Palestin sebagai kerja utama dalam tempoh terdekat ini. Semua petugas dan rakan-rakan NGO Palestin yang lain, akan bersama membuka mulut untuk menjayakan skim ini.
AQSA SYARIF bersedia bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan mana-mana pihak, demi memeriahkan perjuangan Masjidil Aqsa dan apa yang di sekeliling Masjid ini, terutama rakyat Palestin dan hak mereka.
Sambutlah salam perjuangan ini, bertolak dari kemanisan ibadah solat kita; kemanisan iman kita حبـل من الـلـه dan حبـل من الـنا س
الـلـه اكـبـر!!! الـلـه اكـبـر!!! الـلـه اكـبـر!!! ولــلّــه الـحـمـد
Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus
Pengerusi AQSA SYARIF
0 comments:
Post a Comment