17 April 2010

8:30 PM - No comments

Al-Qaradhawi?



Yusuf Abdullah al-Qaradhawi hafizahullah, seorang tokoh ulama yang terkenal dalam abad ini. Beliau merupakan seorang pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang tidak asing lagi di dunia Islam. Beliau lebih dikenali sebagai Yusuf al-Qaradhawi. Mari kita mengenali beliau dengan lebih dekat, semoga membawa manfaat.

Dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahallah al-Kubra Negeri Gharbiah, Mesir pada 9 September 1926 bersamaan 1344H. Nama penuhnya ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Al-Qaradhawi merupakan nama keluarganya. Nama ini diambil dari sebuah daerah yang bernama al-qardhah

Ketika masih kecil, ayahandanya menghadap ke rahmatullah ketika beliau baru berumur 2 tahun. Lalu, beliau dipelihara oleh bapa saudaranya bernama Ahmad. Ketika berusia 5 tahun, Yusuf telah dihantar ke kuttab di kampungnya untuk menghafaz al-Quran. Apabila usianya menjangkau 7 tahun, beliau memasuki sekolah.

Pada umur 10 tahun, beliau sudah hafal al-Quran dengan sempurna. Kerana kemahirannya ini, justeru digelar dengan nama ‘Sheikh Qaradhawi’, oleh orang2 di sekitar kampungnya dan sering dijemput menjadi iman dan menyampaikan syarahan agama. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Maahad Tanta. Maahad ini terletak dibawah penguasaan al-Azhar.

Semasa di Maahad Tanta, al-Qaradhawi mulai banyak membaca buku. Ia tidak hanya membatasi diri untuk membaca buku2 silibus sahaja, tetapi buku2 yang lain untuk meluaskan ufuk pemikiran dan menghilangkan kehausan terhadap ilmu pengetahuan.. Di Maahad Agama Tanta, al-Qaradhawi belajar dengan al-Bahi al-Khuli, Sheikh Mahmud al-Diftar dan Sheikh Mutawalli Sya’rawi.

Semasa beliau belajar di Maahad Agama Tanta peringat rendah, ibunya telah meninggal dunia. Ketika itu beliau berusia 15 tahun. Setelah tamat Maahad Tanta, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar.

Pada tahun 1952/1953, beliau berjaya menyelesaikan kuliah di Fakulti Usuluddin. Beliau tamat dengan menjadi pelajar terbaik dari 180 orang mahasiswa. Yusuf kemudiannya mengambil pengkhususan di fakulti Bahasa Arab selama dua tahun. Beliau memperolehi ijazah sarjana dan diploma pendidikan dengan pangkat pertama daripada 500 orang mahasiswa.

Pada tahun 1957, beliau menyambung pelajaran ke Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi yang dikelolakan oleh Liga Arab sehingga memperolehi diploma Bahasa Arab dan Sastera. Dalam waktu yang sama, Yusuf mendaftar calon ijazah tinggi di Fakulti Usuluddin dalam bidang tafsir dan hadith sehingga menamatkan pengajian pada tahun 1960. Kemudian, beliau menyiapkan diri untuk mendapatkan untuk mendapatkan Ph.D dalam fiqh al-Zakat yang diwajibkan untuk diselesaikan dalam masa dua tahun. Oleh kerana keadaan politik Mesir cukup gawat ketika itu, beliau terpaksa menangguhkan pengajiannya selama 13 tahun. Akhirnya pada tahun 1973, beliau berhasil memperolehi ijazah Ph.D.



Menurut Yusuf al-Qaradhawi, peribadi yang banyak memberi kesan kepada kehidupannya sama ada dalam pemikiran dan spiritual ialah Hassan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan Muslimun. Yusuf menyifatkan al-Banna sebagai pendakwah yang agung dan mempunyai keperibadian yang sederhana sama ada dalam penulisan atau percakapan. Yusuf menceritakan bahawa beliau mendengar ceramah al-banna semasa menuntut di mahaad Agama peringkat rendah sempena sambutan Hijrah. Maka didapati ucapannya begitu mudah sehingga boleh menghafaznya pada hari itu. Beliau mempunyai ilmu yang luas. Dalam majalah al-Shahab, al-Banna menulis mengenai tafsir, akidah, mustalah hadith, sejarah Islam dan sistem2 kemasyarakatan. Tulisan2 itu ditulis dengan baik dan asli.

Selain al-Banna, al-Qardhawi juga cukup mengagumi tokoh seperti Ustaz al-Bahi al-Khuli dan Muhammad al-Ghazali. Kedua-dua tokoh tersebut merupakan tokoh yang mendapat didikan daripada gerakan Ikhwan. Menurut al-Qaradhawi bahawa didikan gerakan Ikhwan lebih memberi kesan kepada jiwanya daripada pendidikan formal yang dipelajarinya di al-Azhar dan guru-gurunya, dengan tidak menafikan sumbangan mereka dalam membentuk peribadi dan keilmuannya.

Antara peribadi yang memberi kesan kepada jiwanya juga ialah Sheikh Rashid Rida, pengarang al-Manar. Walaupun beliau tidak pernah berjumpa, tetapi pemikiran Rashid Rida menyebabkan al-Qaradhawi mengaguminya. Rashid Rida seorang juru islah abad ini yang mengemukakan idea2 baru untuk umat Islam maju. Beliau menyarankan islah, tajdid, ijtihad dan kembali kepada al-Quran dan al-sunnah dan manhaj salaf. Beliau juga terpengaruh dengan Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qaiyim.

Dalam kebanyakkan penulisannya, al-Qaradawi sering menukilkan kata2 ketiga-tiga tokoh tersebut. Beliau menyebutkan bahawa semasa awal kehidupannya, beliau begitu mengagumi Imam Abu Hamid al-Ghazali yang mana kitab al-Ihya merupakan buku pertama yang dibaca semasa kecil, kemudian membaca buku2 peninggalan Ibn Taimiyyah, maka beliau mengaguminya. Ia memberi kesan kepada pemikiran dan jiwanya. Ia merupakan peribadi yang memberi pemikiran pertama kepadanya.. Beliau juga mengagumi anak muridnya Imam Ibn Qaiyim. Walaupun beliau mengagumi kedua-dua tokoh tersebut, ia tidak menghalangnya untuk berbeza dalam sesetengah isu seperti mana kedua-dua tokoh tersebut berbeza pendapat dengan orang2 terdahulu daripada mereka.

Al-Qaradhawi telah menerima kepercayaan dari golongan ulama dan sarjana Islam di atas sumbangan beliau dalam bidang dakwah dan ilmu. Antaranya ialah :

Muhammad al-Ghazali menyifatkan al-Qaradhawi dengan menyebutkan bahawa al-Qaradhawi merupakan seorang yang menggabungkan antara fiqh teori dengan realiti. “Dahulu beliau merupakan murid dan saya merupakan gurunya tetapi sekarang beliau merupakan guru dan saya menjadi muridnya pula”, menurut al-Ghazali lagi. Abu Hassan Ali al-Nadwi menyifatkan al-Qaradhawi seorang yang benar2 sebagai alim, ulama serta pendidik yang terkemuka. Menurut al-nadwi, Al-Qaradhawi merupakan ulama lulusan al-azhar yang bergiat dalam bidang dakwah dengan menggabungkan aspek kefahaman Islam yang benar dengan realiti dunia sekarang. Beliau menggabungkan ciri2 dakwah dan manhaj Hassan al-banna dengan akademik yang diperolehi di al-azhar. Beliau menggabungkan ciri2 tradisi dan moden yang merupakan sebaik-baik manhaj.

Taha Jabir al-Alwani, Pengerusi Institut Pemikiran Islam Antarbangsa menyatakan al-Qaradhawi seorang ahli feqah yang bercirikan pendakwah dan pendakwah yang bercirikan ahli feqah. Muhammad Fathi Uthman seorang pemikir Islam menyebutkan al-Qaradhawi seorang fuqaha dan pendakwah yang terkemuka, yang berinteraksi dengan realiti kehidupan. Ahmad al-Risuni, Ketua Pertubuhan Tauhid dan Tajdid di Maghribi mengatakan al-Qaradhawi seorang ahli feqah yang memahami tujuan2 syariat. Adil Husain, seorang penulis Islam Mesir mengatakan al-Qaradhawi sebagai seorang ahli feqah yang beraliran sederhana dalam zaman kini.

Sementara Husain Ahmad Kadi, Ketua Jamiah Islami Pakistan menyebutkan bahawa apabila al-Maududi meninggal dunia, ribuan orang telah solat jenazah ke atasnya. Kami bermesyuarat untuk memilih siapakah yang layak untuk menjadi imam solat jenazah tersebut. Lalu kami memilih Yusuf al-Qaradhawi. Peristiwa tersebut menggambarkan penghormatannya terhadap al-Qaradhawi.

Antara penghormatan yang pernah diterima oleh beliau ialah Tokoh Maal Hijrah 2010M oleh Kerajaan Malaysia. Beliau kini merupakan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Ketua Majlis Fatwa & Penyelidikan Eropah dan menetap di Qatar setelah diusir keluar dari Mesir.

Antara kitab2 beliau yang dicadangkan untuk pembacaan sahabat2 ialah:

a) Fiqh Keutamaan (Keutamaan Tugas2 Kaum Muslimin); Satu Kajian Baru Dari Persepektif al-Quran dan as-Sunnah, keluaran Thinker’s Library (bhs m’sia).

b) Fiqh Ikhtilaf-Perbezaan Pendapat Antara Gerakan Islam Yang Dibenarkan Dan Dilarang, keluaran as-Syabab Media (bhs m’sia), Pustaka al-Kautsar (bhs indonesia).

c) Keutamaan Harakah Islamiah Dalam Menghadapi Cabaran Mendatang, keluaran Pustaka Darussalam (bhs m’sia).

d) Agama Dan Politik-Wawasan Ideal Dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular Liberal, keluaran Alam Raya (bhs m’sia).

e) Bid’ah Dan Syirik, tulisan bersama Sheikh Muhammad al-Ghazali, keluaran Jasmin (bhs m’sia).

f) Akidah Salaf & Khalaf, keluaran Pustaka al-Kautsar (bhs Indonesia).

g) Iman Dan Kehidupan, keluaran Dewan Pustaka Fajar (bhs m’sia).

h) Berinteraksi Dengan al-Quran, keluaran Gema Insani (bhs Indonesia).

i) Halal Dan Haran Dalam Islam, (bhs m’sia)

j) Memahami Khazanah Klasik, Mazhab Dan Ikhtilaf, keluaran Akbar Media(bhs Indonesia)

k) Fiqh Kenegaraan, (bhs m’sia) dll

Semoga Allah swt terus memberi kekuatan kepada beliau yang kini berumur 84 tahun(2010), untuk terus berbakti kepada umat. Wallahua’lam.


Rujukan:
I. Yusuf al-Qaradhawi: Sejarah Hidup dan Pemikiran, Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali.

0 comments:

Post a Comment