26 July 2010

9:25 AM - No comments

Amalan-amalan Nisfu Syaaban.

Soalan:

Ada yang terkeliru dengan isu sambutan malam nisfu syaaban. Ada yang berpendapat ia adalah bid’ah dan haram dengan iktikad membaca surah yasin sebanyak 3 kali dengan membawa pendapat2 ulama muktabar serta nas2 ketiadaan sambutannya. Ada pula ustaz khususnya ustaz2 berpendidikan tradisional mengatakan tidak mengapa menyambut malam nisfu syaaban dengan membaca surah yasin sebanyak 3 kali dengan niat2 tertentu.



Jawapan:

Terdapat berbagai-bagai hadis daripada Rasulullah SAW yang menyatakan keutamaan bulan Syaaban. Umpamanya seperti hadis berikut:

Aisyah ra meriwayatkan bahawa aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW meneruskan puasa setiap hari (dengan sempurna) selain daripada (hari-hari) bulan Ramadhan. Aku tidak pernah pula melihat baginda banyak berpuasa seperti (yang dilakukannya) dalam bulan Syaaban. (Bukhari:1969, Muslim:1156)

Dalam riwayat Bukhari (1970), ada juga riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan Syaaban seluruhnya. Dalam hadis riwayat Muslim pula terdapat riwayat:

“Rasulullah SAW terus berpuasa dalam bulan Syaaban kecuali beberapa hari sahaja.”

Dalam hadis riwayat Ahmad (21753) dan Nasaii (2357) dalam hadis daripada Usamah bin Zaid, beliau berkata:

“Rasulullah SAW tidak berpuasa dalam bulan-bulan yang lain seperti baginda berpuasa dalam bulan Syaaban. Kemudian beliau bertanya kepada baginda: Mengapa tuan banyak berpuasa dalam bulan Syaaban dan tidak seperti pada bulan-bulan yang lain. Baginda menjawab: Itulah bulan antara Rejab dan Ramadhan. Bulan ini ialah bulan di mana amalan seseorang diangkat kepada Tuhan Rabbul ‘Aalamin Azza Wajalla. Oleh itu, aku suka kalau (pahala) amalanku diangkat kepada-Nya dalam keadaan aku berpuasa.”

Ibnu Majah (1378), meriwayatkan hadis berikut:

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba malam nisfu syaaban, maka hidupkanlah malamnya (dengan ibadah) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Kerana Allah SWT turun selepas matahari terbenam ke langit dunia dan berkata: Adakah sesiapa yang memohon keampunan-Ku untuk Aku ampunkan (dosanya). Adakah sesiapa yang memohon rezeki untuk Aku berikan rezeki (kepadanya). Adakah sesiapa yang menghadapi bala bencana (yang bermunajat) untuk Aku sejahterakan dirinya. Demikianlah halnya sampai waktu terbit fajar. (Sesetengah ulama menganggap hadis ini dhaif, kerana malam yang sebegini adalah malam lailatul qadr bukan malam nisfu syaaban).



Keterangan ini menunjukkan bahawa dorongan untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran ataupun solat dan sebagainya adalah untuk mengatasi amalan bid’ah yang sangat bercanggah dengan Islam seperti menjadi penonton sure heboh, Malaysian Idol. sibuk mengadakan majlis makan besar untuk menjamu selera dan menarik orang ramai supaya terus terikat menjadi penyokong parti tertentu dan lain-lain. Membaca al-Quran; apa jua surah, mengulangi bacaan dan sebagainya adalah suatu yang dituntut dalam syarak. Oleh itu, selagi malan tersebut mempunyai asas dalam Islam dan membawa maslahah syari’ah maka ia masih dalam lingkungan yang dibolehkan.

Sungguhpun begitu, perbuatan mengadakan perayaan besar secara khusus dengan mengada-ngadakan sesuatu yang tidak menjadi amalan Rasululah SAW ataupun mengadakan kegiatan2 yang bercanggah dengan syarak termasuk dalam golongan bid’ah yang dilarang.

Para alim ulama menegaskan bahawa bid’ah terbahagi kepada lima:

1. Bid’ah sebagai suatu yang wajib iaitu dalam bentuk menangkis kekeliruan golongan yang sesat atapun tugas mempelajari nahu dan sebagainya.
2. Sunat: Seperti membina sekolah dan rumah latihan, mengalunkan azan di atas mimbar dan mengadakan sesuatu amal ihsan yang tidak pernah dilakukan pada zaman leluhur silam.
3. Makruh: Seperti berlebih-lebihan menghias masjid ataupun menyepuh kitab al-Quran dengan emas.
4. Harus: Seperti mereka cipta berbagai-bagai jenis juadah atau kuih-muih untuk jamuan hari raya.
5. Haram: Seperti melakukan sesuatu yang tidak mempunyai dalil sunnah atau bercanggah dengannya atau tidak ada apa2 faedah syari’ah yang berkaitan dengannya.



Selain daripada itu membaca al-Quran, walau apa jua surah, dengan niat memohon kepada Allah SWT supaya memberi berkat dan rahmat serta mendapat pahala yang dijanjikan tidaklah salah, kerana itulah yang dituntut oleh syarak. Namun kefahaman yang jitu mengenai ajaran agama dan kefahaman yang jelas mengenai ayat-ayat al-Quran serta bagaimana ia boleh membawa kebaikan kepada umat dengan pelaksanaannya terhadap sistem perundangan, pendidikan dan kebudayaan perlu difahami dengan saksama dan betul. faedah daripada pembacaan al-Quran dapat dicapai semaksimumnya dengan pelaksanaan tuntutannya dalam realiti melalui jihad dan usaha yang berterusan.

Sebenarnya kita tidak harus tergesa-gesa untuk membid’ahkan perkara yang mempunyai asas atau dalil syarak. Kita juga tidak seharusnya begitu mudah terikut-ikut dengan amalan bid’ah yang bercanggah dengan syarak. Lingkungan dan persekitaran kini menuntut supaya umat Islam memperbanyakkan situasi yang mendorong mereka mengamalkan ajaran agama; sama ada dengan mendengar ceramah atau solat malam, membaca zikir yang ma’thur dan sebagainya. Sebab itu, sambutan maulid nabi- umpamanya- yang dipenuhi dengan acara yang bermanfaat dibolehkan dalam Islam demi kebaikan yang boleh diraih dengan kegiatan berkenaan. Wallahua’lam.

Sumber: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam, Kemilau Publika.

09 July 2010

8:50 AM - No comments

Taujihat Buat Diri

Sungguh indah apa yang diungkapkan oleh Imam Al-Banna, ketika beliau merumuskan jalan menuju jati diri sebenar ialah dengan empat sifat: “Akhlak yang teguh, tubuh yang kuat, berfikiran intelek, mampu mencari nafkah sendiri, ” kemudian kita diarahkan pada tarbiyah diri dengan tiga sifat: “akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, bermujahadah pada dirinya sendiri”, sehingga dengan demikian mampu membentuk sikap positif dengan tiga sifat lainnya: “Teratur dalam urusannya, mengisi masanya, dan bermanfaat bagi orang lain.”



Wahai umat Islam, berilah perhatian kalian terhadap pembinaan jati diri dan sikap positif, gunakanlah potensi-potensi kalian, kerana umat sangat memerlukan apa yang dapat kalian berikan walaupun sedikit, bekerjalah untuk menggilapkan cita-cita kalian, dan doronglah masyarakat untuk bekerja dan berusaha, gunakanlah kesempatan sebaik mungkin .. Imam Ali ra pernah berkata: “Kesempatan berlalu seperti berlalunya awan, maka gunakanlah kesempatan tersebut sebaik-baiknya”.

Dan selidikilah realiti yang ada kerana hal tersebut merupakan sebahagian dari perencanaan,”. Imam Al-Banna menyatakan tentang sifat orang yang memiliki cita-cita yang tinggi: “Iaitu yang sentiasa berfikir, memberi perhatian yang utama, jika dijemput segera menerima, jika dipanggil segera menyahut, tidak menjauhkan diri dari medan amal, dia merasai kerehatan, keseronokan dan kenikmatannya di dalam bekerja. Matlamatnya adalah mencapai keredhaan Allah dan mendapat syurga serta menjadi sebaik-baik manusia, sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis baginda: “sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat untuk manusia.”

Hindarilah sikap negatif terhadap umat manusia, kerana orang yang memiliki sikap positif sentiasa membersihkan hati mereka dari yang negatif, dan mendorong orang-orang yang bersamanya supaya memiliki sikap positif untuk bekerja. Renungkanlah apa yang diucapkan oleh orang-orang yang memiliki sikap negatif ketika melihat situasi umat seperti yang dirakamkan oleh Allah dalam FirmanNya: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?. Lalu Al-Qur’an merakam pula apa yang diungkapkan oleh orang-orang yang berjiwa positif. Allah berfirman: “mereka menjawab: “Agar Kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa”. (Al-A’raf:164)


Syeikh Dr Muhammad Badie’