24 March 2010

7:55 PM - 1 comment

Semut Yang Bercakap.



Antara kisah-kisah yang menarik dalam al-Quran ialah kisah Nabi Sulaiman dengan semut. Kisah ini direkodkan pada surah al-Naml, ayat 15-19.

[27:15]
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".

[27:16]
Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata".

[27:17]
Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

[27:18]
(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

[27:19]
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

Selama ini, saintis berpendapat bahawa semut berkomunikasi dengan menggunakan signal-signal berbentuk kimia dan tidak menggunakan bunyi sebagai bentuk komunikasi mereka. Pendapat saintis ini adalah bercanggah sama sekali dengan ayat al-Quran seperti yang saya tunjukkan diatas kerana dalam ayat 16:18 dan 16:19, didapati bahawa semut bercakap (berkomunikasi dengan bunyi). Dan bunyi ini pula didengari oleh Nabi Sulaiman A.S. serta difahaminya dengan ilmu yang dikurniakan Allah S.W.T.



Sebelum saya membuktikan kebenaran tentang semut ini biarlah saya ceritakan sedikit tentang semut. Telah dianggarkan bahawa terdapat 20,000 spesis semut yang wujud di dunia. Semua semut-semut ini hidup berkoloni dan mempunyai sistem sosial yang tersusun dengan beberapa kasta iaitu - pekerja, askar, permaisuri dan dron - semua daripada mereka ini mempunyai tanggungjawab dan tugas-tugas yang amat spesifik untuk koloni mereka. Hanya semut permaisuri dan dron-dron jantan sahaja yang mampu untuk menghasilkan semut-semut baru. Kesemua semut askar dan semut pekerja adalah steril (tidak boleh menghasilkan zuriat).

Semut merupakan serangga yang bersosial kerana mereka hidup dan bekerjasama di dalam satu komuniti. Mereka membesar dan menjaga anak-anak mereka. Kehidupan seperti ini adalah amat berbeza dengan kehidupan serangga-serangga lain yang lebih banyak masa hidup bersendirian. Satu komuniti semut ini dipanggil sebagai koloni. Kehidupan dalam koloni semut adalah sangat tersusun. Setiap ahli mempunyai pekerjaan masing-masing yang sangat spesifik.

Koloni semut diperintah oleh semut permaisuri. Antara tugas semut permaisuri yang penting adalah untuk bertelur. Semut pekerja melakukan semua kerja-kerja yang lain seperti menjaga permaisuri dan anak-anak, membina sarang dan membaiki sarang yang rosak. Semut pekerja juga bekerja mencari makanan dan mempertahankan sarang dari musuh. Semua semut pekerja adalah betina. Pekerja askar tugasnya hanya mempertahankan sarang dari serangan musuh (lihat saiznya yang lebih besar).

Kebanyakkan semut jantan hanya hidup beberapa minggu atau bulan sahaja. Mereka tidak bekerja dan akan mati sebaik sahaja bersenyawa dengan semut permaisuri yang baru.

Sebagai serangga yang bersosial pastinya semut mempunyai suatu cara untuk berkomunikasi. Para saintis berpendapat bahawa semut berkomunikasi menggunakan feromon (pheromones) sahaja. Mereka berpendapat bahawa apabila terdapat bahaya semut akan merembeskan feromon bahaya. (rujuk 'alarm pheromones' di http://en.wikipedia.org/wiki/Pheromone untuk keterangan lanjut).

Pada hari ini, kenyataan itu terbukti tidak benar apabila para saintis berjaya membuktikan bahawa semut juga berkomunikasi dengan menggunakan bunyi untuk menggesa semut-semut lain untuk berasa dalam keadaan awas apabila terdapat bahaya.



Artikel diatas membuktikan semut-semut sentiasa bercakap-cakap dalam frequensi yang sukar didengari oleh manusia. Semut permaisuri pula boleh memberikan arahan kepada semut-semut lain untuk berada dalam keadaan awas dengan menggunakan bunyi. Penemuan ini yang telah diterbitkan dalam jurnal Science telah menyanggah dakwaan pihak-pihak yang mengatakan bahawa semut tidak berkomunikasi dengan bunyi.

Beberapa lama apabila artikel ini telah diterbitkan dalam 'The Times', pihak-pihak yang anti-Islam tersebut telah menarik balik artikel mereka yang mempersendakan Islam. al-Quran yang mereka laporkan sebagai tidak benar dan tidak saintifik adalah begitu tepat. Mampukah Nabi Muhammad S.A.W. mengetahui bahawa semut juga boleh bercakap 1400 tahun dahulu? Inilah antara tanda-tanda/petunjuk/hidayah yang Allah S.W.T. berikan kepada kita dalam al-Quran. Kita tidak mungkin untuk mengetahui perkara ini tanpa membaca dan memahami ilmu dalam al-Quran.

Pada hari ini, sedihnya kita hanya membaca al-Quran tanpa memahami atau mengetahui maksud ayat-ayat Quran. Mungkin dengan membaca kita akan mendapat pahala tetapi yang pasti kita tidak akan mendapat ilmu dari al-Quran. Jika tidak mendapat ilmu bagaimana kita boleh menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan sebagai ubat kepada hati kita?

Walaupun al-Quran adalah dalam bahasa Arab, kini telah banyak diterbitkan terjemahan-terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Bukan sahaja terjemahan al-Quran adalah dalam bahasa tempatan bahkan tafsir al-Quran juga kini banyak diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan Inggeris.


Balik semula kepada topik asal iaitu semut boleh berkomunikasi dengan bunyi, ada juga serangga-serangga lain yang tahu bahasa semut ini mengambil kesempatan ke atas semut. Contohnya arahan berbentuk bunyi dari semut permaisuri boleh dimimik oleh pupa dan larva rama-rama parasit yang mempergunakan semut untuk melindungi dan memberikannya makanan. Artikel ini turut membuktikan semut berkomunikasi dengan bunyi (bercakap).



Baiklah, sekarang kita lihat kembali al-Quran 27:16

27:18 حتى اذا اتوا على واد النمل قالت نملة ياايها النمل ادخلوا مساكنكم لايحطمنكم سليمان وجنوده وهم لايشعرون
[027:018] Hatta itha ataw AAala wadi alnnamli qalat namlatun ya ayyuha alnnamlu odkhuloo masakinakum la yahtimannakum sulaymanu wajunooduhu wahum la yashAAuroona

Jika saudara-saudari ada sedikit pengetahuan Arab, daripada kata kerja di atas didapati kata kerja yang digunakan menunjukkan bahawa semut yang memberikan arahan itu adalah semut betina.

Jika kita bandingkan dengan kajian-kajian terbaru yang dilakukan, didapati yang memberikan arahan adalah semut permaisuri iaitu semut betina. Soalnya disini ialah bagaimana Nabi Muhammad S.A.W. 1400 tahun dahulu tahu bahawa semut yang memberikan arahan itu adalah semut betina iaitu semut permaisuri? Pada ketika itu tiada kanta pembesar, apatah lagi mikroskop dan pengetahuan genetik. Ilmu ini pastinya datang dari Pencipta kita yang Maha Mengetahui segalanya dan disampaikan kepada kita melalui Nabi Muhammad S.A.W. pesuruhNya.

[41:53]
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Allahuakbar! Subhanallah.
Inilah mukjizat al-Quran yang telah ditinggalkan kepada kita.

Setiap kali nampak semut teringat pulak kisah Nabi Sulaiman.

Segala pujian bagi Allah.

~Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.~

Rujukan:
http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/
http://www.bbc.co.uk/nature/family/Ant
http://animals.howstuffworks.com/insects/ant-info3.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Ant
http://www.timesonline.co.uk/tol/news/environment/article5672006.ece
http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-1137267/Getting-chest-Study-reveals-ants-talk-other.html

15 March 2010

1:31 PM - No comments

Sibuk ke?




Amru bin Maimun R.A meriwayatkan Nabi Muhammad Sallallahu alayh wasallam bersabda,

"Ada lima perkara yang sangat berharga yang diberikan percuma oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada umat manusia. Lima perkara itu perlu dimanfaatkan oleh semua umat manusia dengan sebaik-baiknya sebelum datang lima perkara lain. Ia adalah masa muda sebelum masa tua, masa sihat sebelum datang masa sakit, masa senang sebelum datang masa susah, masa lapang sebelum datang masa sibuk, serta masa hidup sebelum datang kematian."




P/S: Sekarang sangat sibuk...manfaatkan hidup selagi bernafas. Agi idup agi ngelaban!

06 March 2010

3:08 AM - No comments

Baca dan Bacalah..



Bismillah.

MEMBACA membolehkan kita memperoleh ilmu dan menyelamatkan diri kita dari kebodohan. Membaca juga dapat boleh menguatkan daya ingatan, mendewasakan pemikiran, memberikan banyak pengalaman dan pengajaran, mengungkapkan banyak rahsia dan bermacam-macam lagi. Membaca adalah kunci pengetahuan dan jalan menuju pembangunan.

Kerana amat pentingnya membaca, maka kalimat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah perintah untuk membaca yang di awali dengan Bismillah. Allah berfirman :

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)” (Surah Al-Alaq: Ayat 1)

Ini menunjukkan kita adalah umat Iqra’ sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni:

“kita adalah umat iqra', tetapi mengapa kita masih enggan membaca??”

Dengan membaca, pasti pengetahuan dan wawasan akan bertambah. Selagi seseorang mengkaji warisan ilmiah dan peradaban manusia, maka akan bertambah pula wawasannya dan akalnya pun akan berkembang, khususnya apabila ia membaca buku-buku yang bermanfaat.





“Buku, Aku Cinta Kamu”

Inilah ungkapan yang digunakan oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al Qarni untuk menggambarkan betapa cintanya beliau terhadap ilmu yang terdapat dalam buku. Bingkisan pengalaman beliau yang di tuliskan dalam buku ini sangat indah dan penuh puitis untuk membangkitkan semangat para pembaca agar terus membaca dan membaca. Di bawah saya cuba kongsikan sedikit bagaimana gambaran kehidupan Dr ‘Aidh sebagai pencinta buku yang merupakan seorang yang amat kita kagumi pada hari ini.

“saya mendakapnya di atas dada, membiarkannya ia tidur di atas lengan dan merangkulnya dalam pelukan. Ia berbicara dan membuat saya senang, sedih, tertawa dan bahkan menangis. Ia menghembuskan kata-katanya ke dalam jiwa saya dan saya pun tak dapat melupakannya. Ia merupakan teman paling setia, paling dekat dan merupakan penghantar terindah. Bersamanya pula, saya lupa akan segala kesulitan, duka cita dalam hidup dan seharian yang dipenuhi kekeruhan……”

“Bersamanya juga, saya ibarat berada di taman yang rendang, kebahagiaan yang besar, kumpulan-kumpulan orang yang menyenangkan. Bersama buku, akal saya menjadi tumbuh, jiwa saya menjadi bersih, keyakinan dan kepercayaan saya bertambah..Saya tidak pernah jemu dengan ucapannya dan juga tidak letih menemaninya.”

Selamat membaca!