04 May 2010

9:07 PM - No comments

Persoalan Tentang Hadis



Oleh: Ustaz Adlan Abdul Aziz

Soalan 1:

Ada pihak yang mengatakan bahawa kita hanya perlu beramal dengan al-Quran dan tidak perlu kepada hadis nabi SAW. Adakah pendapat ini benar?

Jawapan:

Pendapat tersebut adalah pendapat dari golongan yang dikenali sebagai anti hadis. Apa yang benar ialah tiada siapa yang dapat memisahkan hadis daripada al-Quran kerana hadis adalah huraian kepada al-Quran. Ini jelas dalam firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ
Maksudnya: Dan Kami turunkan kepadamu (Muhammad) al-Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka .(16:44)

Firman Allah SWT lagi:

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا
Maksudnya: Dan sesiapa yang taat kepada rasul, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah, dan sesiapa yang berpaling, maka Kami tidak utuskan engkau (wahai Muhammad) sebagai penjaga kepada mereka .(4:80)

Seluruh kehidupan Rasullulah SAW adalah huraian kepada al-Quran bagi memudahkan umat manusia mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka. Sepanjang hayat Baginda SAW menjelaskan kepada umat Islam agar mereka faham bagaimanakah mereka ingin memahami al-Quran seterusnya beramal dengannya dalam kehidupan seharian. Segala huraian ini dipanggil hadis atau sunnah. Menurut seorang pensyarah pengajian hadis di Universiti Jordan, Hammam Said:

Sedangkan daripada sudut sebagai sumber hukum, maka al-Quran menghalalkan dan sunnah juga menghalalkan. Al-Quran mengharamkan dan sunnah juga mengharamkan. Al-Quran menggalakkan dan sunnah juga menggalakkan. Al-Quran mengharuskan dan sunnah juga mengharuskan. Maka sunnah (hadis) adalah sama seperti al-Quran dalam syariat dan sumber hukum-hakam .

Kita tidak akan dapat memahami al-Quran jika kita tidak mengambil hadis atau sunnah sebagai panduan. Kata Yusuf al-Qaradhawi:

Sesungguhnya ibadah yang paling utama dan kefarduan harian serta syiar yang besar dalam Islam iaitu solat, tidak disebutkan maklumat terperinci mengenainya di dalam al-Quran. Tidak disebutkan jumlahnya, waktu-waktunya, jumlah rakaatnya, cara mengerjakannya dan huraian tentang syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Semuanya diketahui dengan sunnah .

Inilah yang menjadikannnya amat penting kerana sebarang penambahan yang berlaku pada sumber kedua ini bermakana berlaku penambahan pada huraian al-Quran. Maka oleh sebab itu golongan yang jahat sejak zaman awal Islam telah berusaha mencipta hadis-hadis palsu bertujuan untuk mencemarkan kesucian Islam. Tetapi kita bersyukur kerana wujudnya segolongan ulama yang dikenali sebagai ulama hadis atau muhaddith yang sentiasa memastikan masyarakat dapat mengenali hadis-hadis yang sahih dan hadis-hadis yang tidak sahih (dhaif dan palsu).

Hadis-hadis sahih merupakan gambaran sebenar kepada kehidupan Rasulullah SAW. Golongan yang tidak mahu mengambil hadis sebagai sumber rujukan (anti hadis) sebenarnya telah melanggar perintah Allah di dalam al-Quran sendiri. Maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa orang-orang yang hanya ingin menggunakan al-Quran tanpa panduan hadis adalah golongan yang tidak memahami al-Quran. Mereka terpengaruh dengan pemikiran kebanyakan pemikir barat yang sentiasa inginkan umat Islam jauh dari ajaran Islam. Semoga Allah melindungi umat Islam daripada terpengaruh dengan pemikiran yang merosakkan ini.

Di antara sumber yang memberikan kita maklumat untuk menolak tuduhan golongan anti hadis ialah:

 20 Hujah Anti Hadith dan Jawapannya oleh Hafiz Firdaus Abdullah (cetakan Jahabersa). Boleh di download e-booknya di www.hafizfirdaus.com
 Al Sunnah Wa Makanatuha Fi al Tasyri’ oleh Dr. Mustofa al Sibaei. (*saya memiliki terjemahannya bertajuk, Al-Hadith Sebagai Sumber Hukum-jika ada yang ingin meminjamnya dialu-alukan-hakim)

*Petikan buku 20 Persoalan Asas Tentang Hadis (cetakan Jahabersa)
*Ustaz Adlan Abdul Aziz memperolehi Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Al-Bayt, Jordan. Pernah berguru dengan al-Syeikh Syu’aib al-Arnaut, tokoh hadis zaman kini. Beberapa artikel beliau disiarkan di dalam Majalah I terbitan Karangkraf dan al-ahkam.net di mana beliau adalah salah seorang moderator.

0 comments:

Post a Comment