Ketua Persatuan Ulama Muslimin Antarabangsa, Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi, telah mengeluarkan fatwa bahawa pembangunan tembok besi yang sedang dilakukan oleh kerajaan Mesir di persempadanan Mesir-Gaza adalah haram berdasarkan syari’ah.
Al Qaradhawi menegaskan dalam kenyataannya bahawa pembangunan tembok besi itu adalah perbuatan yang diharamkan menurut syari’ah, kerana ianya bertujuan menghalangi rakyat Gaza dari mendapatkan bahan keperluan asasi bagi menruskan kehidupan mereka, seterusnya menjadi penyambung kepada sekatan yang telah dikenakan ke atas mereka.
Situasi ini akan semakin membuatkan warga Gaza semakin kelaparan, terhina dan tertindas; yang mana semua hal tersebut dilakukan demi memenuhi dan mempersetujui permintaan Israel.
Apakah keadaan terkini Palestin?
Ya. Kalau diperiksa-periksa akhbar dan media massa, kemungkinan hampir tiada berita terkini Palestin. Tiada cerita berkenaannya. Seakan-akan hari tanpa berita adalah hari Palestin damai tanpa pertumpahan darah.
Tetapi itulah dia kesilapan dunia. Sedang hari-hari di Palestin ada sahaja yang tumpah darahnya, hilang anggotanya, dan lebih teruk lagi melayang nyawanya. Namun itu semua tidak lagi menjadi perhatian kita.
“Ala, biasa la tu”
Mungkin itu pula yang meniti di bibir kita. Pembunuhan seorang islam itu biasa? MasyaAllah. Hingga begini sekali jiwa kita dibius. Hingga terasa kebas, dan tidak mampu lagi hendak bergetar atas penderitaan saudara dalam keimanan kita.
Palestin kini semakin tenat dan semakin tenat. Tembok yang dibina oleh Israel mengelilingi Gaza telah menyekat segala bantuan. Lebih menyedihkan, Mesir, sebuah negara Islam telah membutakan mata menyimpan tangan dari membantu saudara keimanan, dan lebih teruk telah membantu Israel dalam menyekat sempadan dari melepaskan bantuan.
Sekarang ini, berdiam diri tak akan mengubah apa-apa.
Satu ketumbukan telah dibentuk di Malaysia. Lifeline4 Gaza.Nama Melayunya adalah Talian Hayat untuk Gaza. Lifeline4Gaza telah merasmikan sasaran mereka untuk mencapai dana RM10Juta untuk membantu projek konvoi bantuan ke Gaza yang diketuai oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa Turki, Foundation for Human Rights & Freedoms & Human Releif(IHH).
Event terdekat: Perhimpunan Perdana Palestin
Program ini bertempat di: Stadium Melawati, Shah Alam.
Tarikh&Masa: 8 Mei 2010, pukul 07.00 malam – 11.30 malam.
Bayaran: Percuma. (boleh bawa wang untuk berikan sumbangan)
Sumbangan anda dialu-alukan
Lifeline4Gaza terus berusaha memberikan yang terbaik kepada saudara keimanan kita di Palestin. Misi menembus tembok yang mengelilingi Gaza diteruskan. Maka sumbangan bantuan anda kepada Palestin dalam apa jua bentuk dialu-alukan.
Sekiranya anda berminat hendak memberikan sumbangan wang kepada saudara keimanan kita di Palestin, maka bolehlah memasukkan wang kepada:
Yusuf Abdullah al-Qaradhawi hafizahullah, seorang tokoh ulama yang terkenal dalam abad ini. Beliau merupakan seorang pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang tidak asing lagi di dunia Islam. Beliau lebih dikenali sebagai Yusuf al-Qaradhawi. Mari kita mengenali beliau dengan lebih dekat, semoga membawa manfaat.
Dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahallah al-Kubra Negeri Gharbiah, Mesir pada 9 September 1926 bersamaan 1344H. Nama penuhnya ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Al-Qaradhawi merupakan nama keluarganya. Nama ini diambil dari sebuah daerah yang bernama al-qardhah
Ketika masih kecil, ayahandanya menghadap ke rahmatullah ketika beliau baru berumur 2 tahun. Lalu, beliau dipelihara oleh bapa saudaranya bernama Ahmad. Ketika berusia 5 tahun, Yusuf telah dihantar ke kuttab di kampungnya untuk menghafaz al-Quran. Apabila usianya menjangkau 7 tahun, beliau memasuki sekolah.
Pada umur 10 tahun, beliau sudah hafal al-Quran dengan sempurna. Kerana kemahirannya ini, justeru digelar dengan nama ‘Sheikh Qaradhawi’, oleh orang2 di sekitar kampungnya dan sering dijemput menjadi iman dan menyampaikan syarahan agama. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Maahad Tanta. Maahad ini terletak dibawah penguasaan al-Azhar.
Semasa di Maahad Tanta, al-Qaradhawi mulai banyak membaca buku. Ia tidak hanya membatasi diri untuk membaca buku2 silibus sahaja, tetapi buku2 yang lain untuk meluaskan ufuk pemikiran dan menghilangkan kehausan terhadap ilmu pengetahuan.. Di Maahad Agama Tanta, al-Qaradhawi belajar dengan al-Bahi al-Khuli, Sheikh Mahmud al-Diftar dan Sheikh Mutawalli Sya’rawi.
Semasa beliau belajar di Maahad Agama Tanta peringat rendah, ibunya telah meninggal dunia. Ketika itu beliau berusia 15 tahun. Setelah tamat Maahad Tanta, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar.
Pada tahun 1952/1953, beliau berjaya menyelesaikan kuliah di Fakulti Usuluddin. Beliau tamat dengan menjadi pelajar terbaik dari 180 orang mahasiswa. Yusuf kemudiannya mengambil pengkhususan di fakulti Bahasa Arab selama dua tahun. Beliau memperolehi ijazah sarjana dan diploma pendidikan dengan pangkat pertama daripada 500 orang mahasiswa.
Pada tahun 1957, beliau menyambung pelajaran ke Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi yang dikelolakan oleh Liga Arab sehingga memperolehi diploma Bahasa Arab dan Sastera. Dalam waktu yang sama, Yusuf mendaftar calon ijazah tinggi di Fakulti Usuluddin dalam bidang tafsir dan hadith sehingga menamatkan pengajian pada tahun 1960. Kemudian, beliau menyiapkan diri untuk mendapatkan untuk mendapatkan Ph.D dalam fiqh al-Zakat yang diwajibkan untuk diselesaikan dalam masa dua tahun. Oleh kerana keadaan politik Mesir cukup gawat ketika itu, beliau terpaksa menangguhkan pengajiannya selama 13 tahun. Akhirnya pada tahun 1973, beliau berhasil memperolehi ijazah Ph.D.
Menurut Yusuf al-Qaradhawi, peribadi yang banyak memberi kesan kepada kehidupannya sama ada dalam pemikiran dan spiritual ialah Hassan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan Muslimun. Yusuf menyifatkan al-Banna sebagai pendakwah yang agung dan mempunyai keperibadian yang sederhana sama ada dalam penulisan atau percakapan. Yusuf menceritakan bahawa beliau mendengar ceramah al-banna semasa menuntut di mahaad Agama peringkat rendah sempena sambutan Hijrah. Maka didapati ucapannya begitu mudah sehingga boleh menghafaznya pada hari itu. Beliau mempunyai ilmu yang luas. Dalam majalah al-Shahab, al-Banna menulis mengenai tafsir, akidah, mustalah hadith, sejarah Islam dan sistem2 kemasyarakatan. Tulisan2 itu ditulis dengan baik dan asli.
Selain al-Banna, al-Qardhawi juga cukup mengagumi tokoh seperti Ustaz al-Bahi al-Khuli dan Muhammad al-Ghazali. Kedua-dua tokoh tersebut merupakan tokoh yang mendapat didikan daripada gerakan Ikhwan. Menurut al-Qaradhawi bahawa didikan gerakan Ikhwan lebih memberi kesan kepada jiwanya daripada pendidikan formal yang dipelajarinya di al-Azhar dan guru-gurunya, dengan tidak menafikan sumbangan mereka dalam membentuk peribadi dan keilmuannya.
Antara peribadi yang memberi kesan kepada jiwanya juga ialah Sheikh Rashid Rida, pengarang al-Manar. Walaupun beliau tidak pernah berjumpa, tetapi pemikiran Rashid Rida menyebabkan al-Qaradhawi mengaguminya. Rashid Rida seorang juru islah abad ini yang mengemukakan idea2 baru untuk umat Islam maju. Beliau menyarankan islah, tajdid, ijtihad dan kembali kepada al-Quran dan al-sunnah dan manhaj salaf. Beliau juga terpengaruh dengan Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qaiyim.
Dalam kebanyakkan penulisannya, al-Qaradawi sering menukilkan kata2 ketiga-tiga tokoh tersebut. Beliau menyebutkan bahawa semasa awal kehidupannya, beliau begitu mengagumi Imam Abu Hamid al-Ghazali yang mana kitab al-Ihya merupakan buku pertama yang dibaca semasa kecil, kemudian membaca buku2 peninggalan Ibn Taimiyyah, maka beliau mengaguminya. Ia memberi kesan kepada pemikiran dan jiwanya. Ia merupakan peribadi yang memberi pemikiran pertama kepadanya.. Beliau juga mengagumi anak muridnya Imam Ibn Qaiyim. Walaupun beliau mengagumi kedua-dua tokoh tersebut, ia tidak menghalangnya untuk berbeza dalam sesetengah isu seperti mana kedua-dua tokoh tersebut berbeza pendapat dengan orang2 terdahulu daripada mereka.
Al-Qaradhawi telah menerima kepercayaan dari golongan ulama dan sarjana Islam di atas sumbangan beliau dalam bidang dakwah dan ilmu. Antaranya ialah :
Muhammad al-Ghazali menyifatkan al-Qaradhawi dengan menyebutkan bahawa al-Qaradhawi merupakan seorang yang menggabungkan antara fiqh teori dengan realiti. “Dahulu beliau merupakan murid dan saya merupakan gurunya tetapi sekarang beliau merupakan guru dan saya menjadi muridnya pula”, menurut al-Ghazali lagi. Abu Hassan Ali al-Nadwi menyifatkan al-Qaradhawi seorang yang benar2 sebagai alim, ulama serta pendidik yang terkemuka. Menurut al-nadwi, Al-Qaradhawi merupakan ulama lulusan al-azhar yang bergiat dalam bidang dakwah dengan menggabungkan aspek kefahaman Islam yang benar dengan realiti dunia sekarang. Beliau menggabungkan ciri2 dakwah dan manhaj Hassan al-banna dengan akademik yang diperolehi di al-azhar. Beliau menggabungkan ciri2 tradisi dan moden yang merupakan sebaik-baik manhaj.
Taha Jabir al-Alwani, Pengerusi Institut Pemikiran Islam Antarbangsa menyatakan al-Qaradhawi seorang ahli feqah yang bercirikan pendakwah dan pendakwah yang bercirikan ahli feqah. Muhammad Fathi Uthman seorang pemikir Islam menyebutkan al-Qaradhawi seorang fuqaha dan pendakwah yang terkemuka, yang berinteraksi dengan realiti kehidupan. Ahmad al-Risuni, Ketua Pertubuhan Tauhid dan Tajdid di Maghribi mengatakan al-Qaradhawi seorang ahli feqah yang memahami tujuan2 syariat. Adil Husain, seorang penulis Islam Mesir mengatakan al-Qaradhawi sebagai seorang ahli feqah yang beraliran sederhana dalam zaman kini.
Sementara Husain Ahmad Kadi, Ketua Jamiah Islami Pakistan menyebutkan bahawa apabila al-Maududi meninggal dunia, ribuan orang telah solat jenazah ke atasnya. Kami bermesyuarat untuk memilih siapakah yang layak untuk menjadi imam solat jenazah tersebut. Lalu kami memilih Yusuf al-Qaradhawi. Peristiwa tersebut menggambarkan penghormatannya terhadap al-Qaradhawi.
Antara penghormatan yang pernah diterima oleh beliau ialah Tokoh Maal Hijrah 2010M oleh Kerajaan Malaysia. Beliau kini merupakan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Ketua Majlis Fatwa & Penyelidikan Eropah dan menetap di Qatar setelah diusir keluar dari Mesir.
Antara kitab2 beliau yang dicadangkan untuk pembacaan sahabat2 ialah:
a) Fiqh Keutamaan (Keutamaan Tugas2 Kaum Muslimin); Satu Kajian Baru Dari Persepektif al-Quran dan as-Sunnah, keluaran Thinker’s Library (bhs m’sia).
b) Fiqh Ikhtilaf-Perbezaan Pendapat Antara Gerakan Islam Yang Dibenarkan Dan Dilarang, keluaran as-Syabab Media (bhs m’sia), Pustaka al-Kautsar (bhs indonesia).
c) Keutamaan Harakah Islamiah Dalam Menghadapi Cabaran Mendatang, keluaran Pustaka Darussalam (bhs m’sia).
d) Agama Dan Politik-Wawasan Ideal Dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular Liberal, keluaran Alam Raya (bhs m’sia).
e) Bid’ah Dan Syirik, tulisan bersama Sheikh Muhammad al-Ghazali, keluaran Jasmin (bhs m’sia).
Segala pujian hanya buat Allah S.W.T. Selawat dan Salam buat Nabi junjungan. Doa yang tidak terputus untuk para sahabat dan ahli keluarga baginda, guru-guru, pemimpin dan ibubapa tercinta.
Masjidil Aqsa terus dalam ancaman. Sahabat dan saudara-saudara kita terus terkepung di sana dan yang berdekatan dengannya. Entah makan atau tidak anak-anak Palestin itu.
Sekolah mereka? Kesihatan mereka? Masa depan mereka? Pemuda yang bercita-cita mendirikan rumahtangga: ramai juga yang tertangguh dek kepayahan hidup. Seribu soalan lagi yang AQSA SYARIF lemparkan agar ingatan itu terus segar dalam minda setiap rakyat Malaysia.
Sebagai muslim, ketika mendirikan ibadah dengan sahih; ibadah solat, kita ada membaca surah Fatihah dan Tahiyyat.
Ketika membaca surah Fatihah, ketika qiam, kita memohon agar ditunjuki satu jalan yang lurus. Jalan yang bagaimana? Jalan yang pernah dilalui oleh “mereka”; iaitu para anbiya’, termasuk junjungan Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, pengikut sahabat, para auliya’, syuhada’ dan seumpama mereka.
Terbayang kita Nabi Ibrahim dan sirahnya, terbayang kita Nabi Musa dan sirahnya, terbayang kita Nabi Daud dan anakandanya Nabi Sulaiman dan sirah mereka berdua. Terbayang kita Nabi Muhammad S.A.W dan sirahnya. Isra’ dan Mi’rajnya. Hijrah dan Badarnya. Kebijaksanaan baginda berdepan dengan Yahudi di Madinah dan lain-lain.
Banyak yang kita bayangkan semasa berdoa kepada Allah itu, khususnya ketika membaca fatihah dalam solat. Mencari-cari contoh “mereka” yang berada dalam jalan yang lurus. Mereka berada dalam perjuangan sepanjang zaman.
Ketika tahiyyat, selepas mengucapkan segala kemuliaan dan penghargaan, segala keberkatan dan segala doa milik Allah S.W.T, kita akan memberi salam kepada junjungan Nabi S.A.W dan kepada diri kita sendiri, bersama hamba-hamba Allah yang terdiri dari para solihin.
Tentu minda dan hati kita yang khusyuk ini, akan cantumkan “mereka yang berada di jalan yang lurus” dalam fatihah tadi dengan “hamba-hamba Allah yang solih” dalam tahiyyat itu. Manisnya solat yang mengandungi dua isyarat besar, حبـل من الـلـه dan حبـل من الـنا س Khusyuk dan kelazatan mengingat Allah, tidak memutus dan menafikan hubungan dengan manusia.
Di luar solat, seorang pejuang agama Allah, seperti anda semua, tentu akan ingat Allah S.W.T sehingga menusuk Qalbu masing-masing, dan ingat juga tugas khalifah dalam menerbitkan amal dan kerja buat kita semua.
Ingat Allah, ingatlah saudara-saudara kita. Saudara-saudara solihin kita dulu dan sekarang. Saudara-saudara teraniaya di bumi Palestin, tidak terkecuali dari senarai “hamba-hamba Allah yang solih” itu.
Itulah antara implikasi tarbiyyah yang mesti ada dalam semua gerakan Islam. Kekuatan iman dan kekuatan persaudaraan yang terbit dari iman yang mendalam. Ukhuwah yang ditunjangi iman yang mendalam, akan menerbitkan ayunan amal untuk membantu saudara-saudara kita di bumi Palestin secara berterusan.
AQSA SYARIF yang didokong oleh orang-orang lama dalam dakwah, tampil dengan pelbagai program dan aktiviti. Di seluruh pelusuk negara, bersedia ratusan malah mencecah ribuan, sukarelawan menanti amal-amal yang tersusun.
AQSA SYARIF dalam rangka memberi penerangan isu Palestin, menyediakan senarai penceramah-penceramahnya di seluruh negara. Kami telah dan akan terus melatih mereka.
Bertolak dari iman dan persaudaraan yang mendalam ini, petugas dan sukarelawan AQSA SYARIF akan memastikan kerancakan aktiviti berkaitan isu Palestin, disamping menghormati dan mematuhi lunas undang-undang yang ada.
AQSA SYARIF telah meletakkan skim bantuan kepada anak yatim dan keluarga miskin di bumi Palestin sebagai kerja utama dalam tempoh terdekat ini. Semua petugas dan rakan-rakan NGO Palestin yang lain, akan bersama membuka mulut untuk menjayakan skim ini.
AQSA SYARIF bersedia bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan mana-mana pihak, demi memeriahkan perjuangan Masjidil Aqsa dan apa yang di sekeliling Masjid ini, terutama rakyat Palestin dan hak mereka.
Sambutlah salam perjuangan ini, bertolak dari kemanisan ibadah solat kita; kemanisan iman kita حبـل من الـلـه dan حبـل من الـنا س
Ada ustaz ni dia teguh memegang sunnah. Dia tidak mengamalkan wirid secara beramai-ramai setelah solat. Namun dia tidak hadir ke tengah-tengah masyarakat lalu memarahi jemaah yang sudah terbiasa dengan wirid secara beramai-ramai. Dia mengikuti rentak masyarakat. Sampai satu ketika dia menerangkan bahawa wirid secara beramai-ramai ini tidak ada sunnah yang jelas yang menganjurkannya. Masyarakat menerima dan cuba berubah. Setelah lama kelamaan masyarakat berkata, “Ustaz susahlah bagi kami nak baca wirid sendiri-sendiri. Dahlah tak paham, bacaannya pun kadang tak tepat. Kita buat sama-sama sajalah..” Akhirnya mereka kembali membacakan wirid secara beramai-ramai..
* * *
Petikan kisah di atas saya dengarkan di radio IKIM sebentar tadi. Ia menjadi bahan perbincangan ketika ada penanya yang menanyakan hal berkaitan khilaf basmalah dimana sebahagian imam membaca dengan jelas dan sebahagian lagi tidak membacanya dengan jelas dalam sembahyang.
Tulisan kali ini tidak bertujuan untuk membahas perihal khilaf, tidak pula tentang pahaman atau mazhab yang asing lalu diketengahkan ke masyarakat dan tidak pula mengenai wirid. Semua itu di Malaysia ini menjadi isu yang sensitif. Semoga kita terpelihara dari fitnah yang amat merugikan. Semoga Allah pelihara hati kita agar tidak sedikit pun memiliki perasaan benci terhadap sesama muslim.
Apa yang ingin diketengahkan pada tulisan ini adalah betapa contoh kisah di atas menunjukan sebuah sikap yang sedang di alami masyarkat muslim Malaysia.
“Ustaz susahlah nak hafal. Dahlah tak faham..” Adalah salah satu bentuk penyataan yang kurang enak di dengar.
Penyataan sama sering kita dengar pada hal yang lain seperti. “Tak payahlah belajar bahasa Arab, buang masa saje. Lagi pun kita dah boleh pelajari agama tanpa menguasai bahasa Arab.”
“Agama ni tak perlu belajar tinggi-tinggi. Belajar agama, kalau sudah lulus nanti nak bagi makan anak isteri apa? Kita jadi jurutera. Cukuplah kita tahu baca Al-Quran, tahu fardhu ain, halal haram sikit-sikit. Lagi pun kalau ada masalah kita tanya sajelah dengan ustaz-ustaz.”
Sikap yang terpancar jelas dari penyataan di atas amat meresahkan.
Berkobar-kobar kita ingin jadikan negara kita ini negara Islam, tapi asas dalam Islam seperti bahasa Arab pun tak ada yang peduli. Islam dari mana dan yang macam mana ini?
Ketika timbul masalah khilaf, ramai tokoh-tokoh yang memberi alasan bahawa perkara yang asing yang diketengahkan itu tidak relevan bagi masyarakat. Menjadi penyebab salah faham dalam masyarakat dan bla.. bla.. bla.. Apa yang pelik adalah tidak ada pun usaha yang menjelaskan dengan penjelasan yang secukupnya.
Masalah perbezaan mazhab di negara ini sebagai contoh, kita terlalu sibuk untuk menghalau pengaruh mazhab selain Syafie untuk masuk ke dalam masyarakat, tetapi bila ditanya kepada masyarakat, “Anda tahu tak pendapat mazhab Syafie dalam perihal solat?” semua menggeleng kepala.
Saya mencadangkan kepada para asatiz yang tidak suka dengan kehadiran mazhab-mazhab lain dalam fiqih atau pun aqidah agar mengubah cara penyampaian dari menghujat mazhab lain kepada menerangkan tentang mazhab yang majoriti itu sendiri. Sehingga masyarakat memahami apa yang diperjuangkan atas dasar ilmu dan bukan ikut-ikutan. Maka, usaha yang dilakukan dengan memenuhi minda masyarakat dengan pahaman sebenar mazhab syafie dalam fiqih justeru akan memberi suntikan baru dalam suasana keagamaan di Malaysia ini.
Sangat menghairankan pada zaman yang serba canggih ini, semua orang ingin mendapatkan yang terbaik. Jika peralatan elektronik kita mahu yang paling latest. Paling up to date. Demi itu kita di suruh belajar di universiti dengan sungguh-sungguh agar mampu melahirkan generasi yang mampu mencorak dunia dengan kemajuan teknologi. Malangnya bila tiba bab agama, mulalah kita berkata, ”Kita ambil dari ustaz itu sajalah.” ”Tak usahlah buang masa kaji pasal agama ni, cukuplah kita buat apa yang telah dibuat nenek moyang kita.”
Ayuh kita ubah rentak. Kita utamakan usaha memperdalam ilmu agama agar tidak tersesat dalam kemelut yang melanda umat Islam ini. Jadilah masyarakat yang paling up to date dalam hal pengetahuan agama. Kita jadi masyarakat yang benar-benar faham bukan sekedar tahu atas orang. Sibukanlah diri kita dengan yang utama kerana dunia jika dikejar memang tak ke mana..
*sekali lagi kami tegaskan, tulisan ini hanya berusaha mengkritik sikap masyarakat yang hanya menganggap pengetahuan agama cukuplah sekedar sahaja sedang ilmu-ilmu lain sampai ke lubang biawak pun sanggup di cari. Sikap diskriminasi terhadap ilmu agama seperti ini sudah selayaknya kita perangi dan hapuskan dari minda masyarakat.