06 May 2010

12:10 AM - , No comments

Bosan?!



Nasihat untuk diri sempena cuti ini..

Orang yang hidup mengekang diri dengan satu gaya hidup, sudah tentu akan dilanda kebosanan. Ini kerana pada dasarnya jiwa manusia memang memiliki kecenderungan untuk mudah merasa bosan. Tabiat dasar setiap manusia adalah tidak suka berada dalam satu keadaan yang sama. Oleh kerana itulah, maka Allah memutar zaman dan tempat bagi manusia, memberikan berbagai bentuk makanan, minuman dan menciptakan makhluk yang beraneka ragam. Ada malam dan siang, ada dataran tinggi dan rendah, ada putih dan hitam, ada panas dan dingin, dan ada manis dan masam. Keberagaman dan perbezaan ini seringkali disebut Allah dalam beberapa firmanNya. Di antaranya Allah menyebutkan bahawa:

…dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya…(an-Nahl, 16:69)

…dari pohon kurma yang bercabang dan tidak bercabang…(ar-Ra’d, 13:4)

…yang serupa (bentuk dan warnanya) tetapi tidak sama (rasanya)…(al-An’am, 6:141)

…dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis (seperti jalan yang berwarna) putih dan merah yang beraneka macam warnanya…(Fathir, 35:27)

…dan masa-masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia…(Ali Imran, 3:140)

Malahan Bani Israil pernah merasa bosan dengan makanan mereka yang paling baik dan mengeluh kepada Allah.

…kami tidak boleh sabar (tahan) dengan satu macam makanan saja…(al-Baqarah, 2:61)

Al-makmun suatu ketika pernah dihinggapi rasa bosan di mana kadang-kala beliau membaca sambil duduk, sesekali dengan berdiri dan pada saat yang lain sambil berjalan. Dan kerana itu pula ia pernah berkata, “jiwa manusia itu dipenuhi dengan kebosanan.”

Allah SWT juga telah berfirman:

...(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring…(Ali Imran, 3:191)

Siapa bersedia merenung sejenak dan memikirkan sesuatu yang behubung dengan ibadat, tentu dia akan menemui berbagai jenis dan ragam dalam bentuk dan makna yang terkandung di dalamnya. Dalam ibadat terdapat amalan qalbiyyah(berkaitan hati), qauliyyah(berkaitan perkataan), amaliyyah(berkaitan tindakan), maliyyah(berkaitan harta), solat, zakat, puasa, haji dan jihad. Bahkan, dalam solat ada posisi berdiri, ruku’, sujud dan duduk.

Oleh kerana itu, sesiapa yang menginginkan kepuasan, semangat yang tinggi dan produktiviti, maka hendaklah ia mempelbagaikan pekerjaannya, membaca buku yang berbagai jenis dan menjalani kehidupan ini dengan beraneka kegiatan. Misalnya ketika membaca, ia perlu pelbagaikan bacaannya, di antaranya al-Quran, tafsir, sirah Rasulullah SAW, hadith, fiqh, sejarah, sastera dan ilmu pengetahuan umum dan seumpamanya. Demikian pula dalam menjalankan kegiatan rutin harian, anda perlu menentukan bila waktu untuk beribadah, mencari hiburan, mengunjungi sahabat, menerima tetamu, berolahraga dan beriadah. Dengan ini, nescaya jiwanya akan selalu merasa segar dan ceria, kerana dia melakukan kepelbagaian aktiviti dan merasakan keindahan dari sesuatu yang baru.

*Dr Aidh al-Qarni, La Tahzan.

0 comments:

Post a Comment