MyTazkirah.COM bersyukur untuk melancarkan program Cabaran 30 Hari – Ramadhan dengan Quran (30 Day Challenge – Ramadhan with Quran) tahun ini. Program ini terbuka kepada semua. Dalam program ini, pelawat akan mengikuti program mendekatkan diri dengan al-Quran dengan pelbagai aktiviti menarik.
Program ini bertujuan untuk menjadikan Ramadhan tahun ini sesuai dengan ruh ayat al-Baqarah ayat 185 dan 186 di mana Allah menerangkan Ramadhan adalah bulan al-Quran. Tidak lengkap kalau Ramadhan hanya diisi dengan puasa sahaja tanpa menghargai penurunan al-Quran kepada manusia.
Allah berfirman :
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (2:185)
Mampukah kita menjadi hamba yang bersyukur ? Syukur akan berlaku apabila kita menyiapkan modal taqwa dengan ibadah puasa dan mendalami al-Quran di bulan yang mulia ini.
P/S: Utk diri sy sendiri berazam utk khatam bersama terjemahannya,insyaAllah..moga2 matlamat Ramadhan iaitu menghasilkan ketaqwaan itu berhasil..selamat beramal di bulan Ramadhan!
Ada yang terkeliru dengan isu sambutan malam nisfu syaaban. Ada yang berpendapat ia adalah bid’ah dan haram dengan iktikad membaca surah yasin sebanyak 3 kali dengan membawa pendapat2 ulama muktabar serta nas2 ketiadaan sambutannya. Ada pula ustaz khususnya ustaz2 berpendidikan tradisional mengatakan tidak mengapa menyambut malam nisfu syaaban dengan membaca surah yasin sebanyak 3 kali dengan niat2 tertentu.
Jawapan:
Terdapat berbagai-bagai hadis daripada Rasulullah SAW yang menyatakan keutamaan bulan Syaaban. Umpamanya seperti hadis berikut:
Aisyah ra meriwayatkan bahawa aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW meneruskan puasa setiap hari (dengan sempurna) selain daripada (hari-hari) bulan Ramadhan. Aku tidak pernah pula melihat baginda banyak berpuasa seperti (yang dilakukannya) dalam bulan Syaaban. (Bukhari:1969, Muslim:1156)
Dalam riwayat Bukhari (1970), ada juga riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan Syaaban seluruhnya. Dalam hadis riwayat Muslim pula terdapat riwayat:
“Rasulullah SAW terus berpuasa dalam bulan Syaaban kecuali beberapa hari sahaja.”
Dalam hadis riwayat Ahmad (21753) dan Nasaii (2357) dalam hadis daripada Usamah bin Zaid, beliau berkata:
“Rasulullah SAW tidak berpuasa dalam bulan-bulan yang lain seperti baginda berpuasa dalam bulan Syaaban. Kemudian beliau bertanya kepada baginda: Mengapa tuan banyak berpuasa dalam bulan Syaaban dan tidak seperti pada bulan-bulan yang lain. Baginda menjawab: Itulah bulan antara Rejab dan Ramadhan. Bulan ini ialah bulan di mana amalan seseorang diangkat kepada Tuhan Rabbul ‘Aalamin Azza Wajalla. Oleh itu, aku suka kalau (pahala) amalanku diangkat kepada-Nya dalam keadaan aku berpuasa.”
Ibnu Majah (1378), meriwayatkan hadis berikut:
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba malam nisfu syaaban, maka hidupkanlah malamnya (dengan ibadah) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Kerana Allah SWT turun selepas matahari terbenam ke langit dunia dan berkata: Adakah sesiapa yang memohon keampunan-Ku untuk Aku ampunkan (dosanya). Adakah sesiapa yang memohon rezeki untuk Aku berikan rezeki (kepadanya). Adakah sesiapa yang menghadapi bala bencana (yang bermunajat) untuk Aku sejahterakan dirinya. Demikianlah halnya sampai waktu terbit fajar. (Sesetengah ulama menganggap hadis ini dhaif, kerana malam yang sebegini adalah malam lailatul qadr bukan malam nisfu syaaban).
Keterangan ini menunjukkan bahawa dorongan untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran ataupun solat dan sebagainya adalah untuk mengatasi amalan bid’ah yang sangat bercanggah dengan Islam seperti menjadi penonton sure heboh, Malaysian Idol. sibuk mengadakan majlis makan besar untuk menjamu selera dan menarik orang ramai supaya terus terikat menjadi penyokong parti tertentu dan lain-lain. Membaca al-Quran; apa jua surah, mengulangi bacaan dan sebagainya adalah suatu yang dituntut dalam syarak. Oleh itu, selagi malan tersebut mempunyai asas dalam Islam dan membawa maslahah syari’ah maka ia masih dalam lingkungan yang dibolehkan.
Sungguhpun begitu, perbuatan mengadakan perayaan besar secara khusus dengan mengada-ngadakan sesuatu yang tidak menjadi amalan Rasululah SAW ataupun mengadakan kegiatan2 yang bercanggah dengan syarak termasuk dalam golongan bid’ah yang dilarang.
Para alim ulama menegaskan bahawa bid’ah terbahagi kepada lima:
1. Bid’ah sebagai suatu yang wajib iaitu dalam bentuk menangkis kekeliruan golongan yang sesat atapun tugas mempelajari nahu dan sebagainya. 2. Sunat: Seperti membina sekolah dan rumah latihan, mengalunkan azan di atas mimbar dan mengadakan sesuatu amal ihsan yang tidak pernah dilakukan pada zaman leluhur silam. 3. Makruh: Seperti berlebih-lebihan menghias masjid ataupun menyepuh kitab al-Quran dengan emas. 4. Harus: Seperti mereka cipta berbagai-bagai jenis juadah atau kuih-muih untuk jamuan hari raya. 5. Haram: Seperti melakukan sesuatu yang tidak mempunyai dalil sunnah atau bercanggah dengannya atau tidak ada apa2 faedah syari’ah yang berkaitan dengannya.
Selain daripada itu membaca al-Quran, walau apa jua surah, dengan niat memohon kepada Allah SWT supaya memberi berkat dan rahmat serta mendapat pahala yang dijanjikan tidaklah salah, kerana itulah yang dituntut oleh syarak. Namun kefahaman yang jitu mengenai ajaran agama dan kefahaman yang jelas mengenai ayat-ayat al-Quran serta bagaimana ia boleh membawa kebaikan kepada umat dengan pelaksanaannya terhadap sistem perundangan, pendidikan dan kebudayaan perlu difahami dengan saksama dan betul. faedah daripada pembacaan al-Quran dapat dicapai semaksimumnya dengan pelaksanaan tuntutannya dalam realiti melalui jihad dan usaha yang berterusan.
Sebenarnya kita tidak harus tergesa-gesa untuk membid’ahkan perkara yang mempunyai asas atau dalil syarak. Kita juga tidak seharusnya begitu mudah terikut-ikut dengan amalan bid’ah yang bercanggah dengan syarak. Lingkungan dan persekitaran kini menuntut supaya umat Islam memperbanyakkan situasi yang mendorong mereka mengamalkan ajaran agama; sama ada dengan mendengar ceramah atau solat malam, membaca zikir yang ma’thur dan sebagainya. Sebab itu, sambutan maulid nabi- umpamanya- yang dipenuhi dengan acara yang bermanfaat dibolehkan dalam Islam demi kebaikan yang boleh diraih dengan kegiatan berkenaan. Wallahua’lam.
Sumber: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam, Kemilau Publika.
Sungguh indah apa yang diungkapkan oleh Imam Al-Banna, ketika beliau merumuskan jalan menuju jati diri sebenar ialah dengan empat sifat: “Akhlak yang teguh, tubuh yang kuat, berfikiran intelek, mampu mencari nafkah sendiri, ” kemudian kita diarahkan pada tarbiyah diri dengan tiga sifat: “akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, bermujahadah pada dirinya sendiri”, sehingga dengan demikian mampu membentuk sikap positif dengan tiga sifat lainnya: “Teratur dalam urusannya, mengisi masanya, dan bermanfaat bagi orang lain.”
Wahai umat Islam, berilah perhatian kalian terhadap pembinaan jati diri dan sikap positif, gunakanlah potensi-potensi kalian, kerana umat sangat memerlukan apa yang dapat kalian berikan walaupun sedikit, bekerjalah untuk menggilapkan cita-cita kalian, dan doronglah masyarakat untuk bekerja dan berusaha, gunakanlah kesempatan sebaik mungkin .. Imam Ali ra pernah berkata: “Kesempatan berlalu seperti berlalunya awan, maka gunakanlah kesempatan tersebut sebaik-baiknya”.
Dan selidikilah realiti yang ada kerana hal tersebut merupakan sebahagian dari perencanaan,”. Imam Al-Banna menyatakan tentang sifat orang yang memiliki cita-cita yang tinggi: “Iaitu yang sentiasa berfikir, memberi perhatian yang utama, jika dijemput segera menerima, jika dipanggil segera menyahut, tidak menjauhkan diri dari medan amal, dia merasai kerehatan, keseronokan dan kenikmatannya di dalam bekerja. Matlamatnya adalah mencapai keredhaan Allah dan mendapat syurga serta menjadi sebaik-baik manusia, sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis baginda: “sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat untuk manusia.”
Hindarilah sikap negatif terhadap umat manusia, kerana orang yang memiliki sikap positif sentiasa membersihkan hati mereka dari yang negatif, dan mendorong orang-orang yang bersamanya supaya memiliki sikap positif untuk bekerja. Renungkanlah apa yang diucapkan oleh orang-orang yang memiliki sikap negatif ketika melihat situasi umat seperti yang dirakamkan oleh Allah dalam FirmanNya: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?. Lalu Al-Qur’an merakam pula apa yang diungkapkan oleh orang-orang yang berjiwa positif. Allah berfirman: “mereka menjawab: “Agar Kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa”. (Al-A’raf:164)
Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali. Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang. Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.
Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 62. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.
Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.
Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan. Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.
Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan
“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”
Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.
Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.
Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.
Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia.
Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2010 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel
Orang yang hidup mengekang diri dengan satu gaya hidup, sudah tentu akan dilanda kebosanan. Ini kerana pada dasarnya jiwa manusia memang memiliki kecenderungan untuk mudah merasa bosan. Tabiat dasar setiap manusia adalah tidak suka berada dalam satu keadaan yang sama. Oleh kerana itulah, maka Allah memutar zaman dan tempat bagi manusia, memberikan berbagai bentuk makanan, minuman dan menciptakan makhluk yang beraneka ragam. Ada malam dan siang, ada dataran tinggi dan rendah, ada putih dan hitam, ada panas dan dingin, dan ada manis dan masam. Keberagaman dan perbezaan ini seringkali disebut Allah dalam beberapa firmanNya. Di antaranya Allah menyebutkan bahawa:
…dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya…(an-Nahl, 16:69)
…dari pohon kurma yang bercabang dan tidak bercabang…(ar-Ra’d, 13:4)
…yang serupa (bentuk dan warnanya) tetapi tidak sama (rasanya)…(al-An’am, 6:141)
…dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis (seperti jalan yang berwarna) putih dan merah yang beraneka macam warnanya…(Fathir, 35:27)
…dan masa-masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia…(Ali Imran, 3:140)
Malahan Bani Israil pernah merasa bosan dengan makanan mereka yang paling baik dan mengeluh kepada Allah.
…kami tidak boleh sabar (tahan) dengan satu macam makanan saja…(al-Baqarah, 2:61)
Al-makmun suatu ketika pernah dihinggapi rasa bosan di mana kadang-kala beliau membaca sambil duduk, sesekali dengan berdiri dan pada saat yang lain sambil berjalan. Dan kerana itu pula ia pernah berkata, “jiwa manusia itu dipenuhi dengan kebosanan.”
Allah SWT juga telah berfirman:
...(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring…(Ali Imran, 3:191)
Siapa bersedia merenung sejenak dan memikirkan sesuatu yang behubung dengan ibadat, tentu dia akan menemui berbagai jenis dan ragam dalam bentuk dan makna yang terkandung di dalamnya. Dalam ibadat terdapat amalan qalbiyyah(berkaitan hati), qauliyyah(berkaitan perkataan), amaliyyah(berkaitan tindakan), maliyyah(berkaitan harta), solat, zakat, puasa, haji dan jihad. Bahkan, dalam solat ada posisi berdiri, ruku’, sujud dan duduk.
Oleh kerana itu, sesiapa yang menginginkan kepuasan, semangat yang tinggi dan produktiviti, maka hendaklah ia mempelbagaikan pekerjaannya, membaca buku yang berbagai jenis dan menjalani kehidupan ini dengan beraneka kegiatan. Misalnya ketika membaca, ia perlu pelbagaikan bacaannya, di antaranya al-Quran, tafsir, sirah Rasulullah SAW, hadith, fiqh, sejarah, sastera dan ilmu pengetahuan umum dan seumpamanya. Demikian pula dalam menjalankan kegiatan rutin harian, anda perlu menentukan bila waktu untuk beribadah, mencari hiburan, mengunjungi sahabat, menerima tetamu, berolahraga dan beriadah. Dengan ini, nescaya jiwanya akan selalu merasa segar dan ceria, kerana dia melakukan kepelbagaian aktiviti dan merasakan keindahan dari sesuatu yang baru.